Menangani Berita Palsu Secara Tuntas
Peranan AIFA & SEBENARNYA.MY Dalam Literasi Maklumat Sahih
FENOMENA berita palsu semakin hari semakin meningkat di negara ini. Seolah-olah berita palsu ini diumpamakan wabak penyakit sosial yang mencemari kesihatan mental masyarakat sehingga menimbulkan keresahan awam.
Seperti mana umum mengetahui, peningkatan berita palsu ini banyak berlaku di dalam media sosial yang digunakan oleh masyarakat Malaysia. Media sosial juga seperti laman jaringan sosial membolehkan orang ramai untuk berkumpul dan berinteraksi tanpa mengira status atau kedudukan.
Menerusi kemudahan media sosial yang membuatkan lebih banyak penularan berita palsu berterusan yang datangnya daripada aplikasi tersedia ada termasuk kemunculan blog dan berita portal yang tidak mempunyai etika kewartawanan tulen.
Aplikasi sedemikian dilihat sebagai alat yang dapat menghubungkan antara satu sama lain dan membolehkan segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita berbaur fitnah kepada orang ramai.
Sehingga orang ramai mudah terpedaya dan cuma berseronok mula menyebarkan sehingga menyebabkan mangsa keadaan difitnah oleh masyarakat dan memberi kesan yang tidak elok kepada pihak yang lain.
Ketagihan mereka menggunakan internet ini membuatkan pengguna mempunyai perasaan ingin menyebarkan berita palsu di laman sesawang, blog mahupun di media sosial. Malahan, kemajuan media sosial ini membuatkan mereka diancam oleh masyarakat kerana berita yang tidak benar itu.
Kerajaan amat menyedari berhubung isu serius berita palsu. Sebagai kesungguhan memerangi berita palsu ini, kerajaan telah melancarkan portal SEBENARNYA.MY pada 14 Mac 2017. Ia menumpukan kepada topik atau isu tempatan yang memberi kesan kepada kepentingan awam atau nasional, yang mana kesahihannya dapat disahkan (atau telah disahkan) oleh Kementerian atau agensi Kerajaan berkenaan mengikut peranan, bidang kuasa dan bidang kepakaran.
Ia dibangunkan bagi mengekang penularan berita palsu di dalam talian di mana masyarakat boleh menyemak kesahihan maklumat yang diterima.
Inisiatif ini juga melengkapi aktiviti penguatkuasaan dan kempen kesedaran yang sudah dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membendung isu berita palsu dan menyokong pelbagai inisiatif yang telah sedia dijalankan oleh Kerajaan di dalam menangani masalah penularan berita palsu di Malaysia.
“SKMM melaporkan bahawa pada tahun 2024 lalu, mereka telah memohon penurunan lebih dari 19,000 kandungan berita palsu dari pelbagai platform dalam talian, dengan lebih dari 17,000 kandungan telah dipadam.
Sehingga Februari 2025, sudah terdapat lebih dari 1,500 permohonan untuk penurunan kandungan palsu. Inisiatif ini diharapkan dapat memberdayakan rakyat dengan maklumat yang tepat dan mengurangkan kesan negatif dari penyebaran berita palsu.”
– Majlis Keselamatan Negara
Baru-baru ini, kerajaan melancarkan Chatbot AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) pada 28 Januari 2025, diterajui oleh SKMM. Inisiatif ini bertujuan untuk memerangi penyebaran maklumat palsu dan menyediakan platform bagi rakyat untuk menyemak berita yang tidak ditentukan secara dalam talian.
Fungsi dan Aksesibiliti AIFA – AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp. Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dengan harapan lebih banyak bahasa akan ditambah di masa hadapan.

Antara objektif utama yang ingin dicapai melalui pelancaran AIFA adalah:
- Mempercepatkan maklum balas terhadap maklumat tidak sahih yang beredar di internet.
- Membantu rakyat mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah.
- Memperkuat peranan portal Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran berita palsu di Malaysia.
Tips Membanteras Penyebaran Berita Palsu
Sesuatu berita yang tular atau popular tidak semestinya betul, oleh yang demikian:
- Sentiasa periksa kesahihan maklumat itu lebih dari satu kali.
- Pastikan sumber maklumat itu dari pihak yang benar.
- Siasat latar belakang penulis atau penyebar maklumat tersebut.
- Bertanya kepada orang yang lebih layak seperti pihak berkuasa.
- Menggunakan apa jua kemudahan dan servis di Internet secara berhemah, positif, tidak bertentangan atau menyalahi tatasusila dan norma masyarakat serta tidak melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sekiranya TIDAK PASTI dengan kesahihan sesuatu berita, JANGAN KONGSI.
Sumber: Sebenarnya.my
