NADI Bantu Usahawan Lonjak Pendapatan

Program Keusahawanan NADI Sediakan Laluan Strategik untuk PKS Meluaskan Jangkauan dan Meningkatkan Pendapatan dalam Pasaran Digital
NADI terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya di kawasan luar bandar, menerusi akses kepada latihan keusahawanan digital berstruktur dan praktikal.
Di bawah teras Keusahawanan, program seperti NadiPreneur, NADI EmpowHer dan NADI KidVenture telah dilaksanakan untuk membimbing lebih 7,000 usahawan NADI di seluruh negara dalam membina kemahiran perniagaan dan menembusi pasaran digital.
Antara modul ditawarkan termasuk strategi merancang pelan perniagaan, pemasaran dalam talian, pengurusan kewangan dan operasi yang mampan. Melalui pendekatan menyeluruh, usahawan turut didedahkan kepada ekosistem digital dan peluang jaringan perniagaan yang membolehkan mereka meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan mahupun global.
Komitmen NADI turut merangkumi pengiktirafan terhadap pencapaian usahawan, termasuk Anugerah Ikon Keusahawanan NADI yang bakal berlangsung di Persidangan NADI Kebangsaan 2025.
Program ini telah melahirkan ramai usahawan cemerlang. Antaranya, kisah kejayaan Ramtiniwaiti Ramlee, pemilik Seri Gedong Songket dari Sarawak merupakan ahli NADI Kampung Gedong, berjaya meningkatkan jualan bulanan dari RM8,000 pada 2018 ke hampir RM20,000 dan kini menembusi pasaran antarabangsa termasuk Singapura, United Kingdom dan Kanada. Beliau telah diiktiraf sebagai Ikon Usahawan NADI dan turut mewakili Malaysia di Kongres Dunia Mudah Alih 2024 di Barcelona, Sepanyol.
Di Sabah pula, program keusahawanan NADI membuka peluang baharu kepada suri rumah untuk menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga mereka. Rafidah Dzulkiflee, 46, seorang suri rumah telah menyertai NADI PPR Taman Sri Rugading, Tuaran pada tahun 2017 tanpa sebarang latar belakang dalam perniagaan.
Melalui bimbingan NADI, beliau didedahkan kepada asas pendigitalan perniagaan dan berjaya mengkomersialkan resipi warisan keluarganya—popia udang—yang kini dijual di platform dalam talian serta di stesen minyak utama. Hari ini, beliau menggaji empat orang pekerja dan menerima permintaan tinggi, termasuk dari Brunei.
Suzinah Sulid, 41, suri rumah dari NADI Pekan Puterajaya, Kota Kinabalu pula memulakan langkah dengan menjual jus nanas pada 2018 dan hasil bimbingan NADI, beliau kini memperluas penawarannya kepada kerepek kentang dan sambal lada udang.
Turut memanfaatkan platform e-dagang ini adalah Norida Nong yang telah menyertai kelas keusahawanan sejak 2019 di NADI Felda Lembah Klau, Pahang, bagi memasarkan produk berasaskan ikan pekasam olahan resipi ibunya. Jenama Maspuan kini berjaya menembusi pasaran United Kingdom dan menjana pendapatan lebih dari RM7,000 sebulan. Menurut Norida, NADI bukan sahaja memberikan bimbingan dari segi kemahiran tetapi juga menyediakan kemudahan digital yang lengkap.
Hasil tinjauan dalam talian di kalangan 396 usahawan NADI turut menggambarkan kecenderungan positif dalam kalangan usahawan NADI terhadap model perniagaan digital baik sebagai penjual mahupun pembeli:
- 4% usahawan NADI menyatakan mereka pernah menjual produk atau perkhidmatan secara dalam talian.
- Lebih 80% responden turut membeli secara dalam talian sekurang-kurangnya sebulan sekali dalam komuniti setempat mereka.
Menariknya, walaupun e-dagang semakin diterima, saluran berasaskan hubungan sosial kekal dominan — 74% membeli melalui kumpulan WhatsApp, diikuti kedai fizikal (61%) dan Facebook Marketplace (23%). Ini menunjukkan pentingnya keseimbangan antara strategi digital dan sosial dalam membina kepercayaan pembeli tempatan.
Namun, tinjauan juga mendedahkan cabaran utama pembeli terhadap peniaga setempat seperti kualiti produk tidak menentu (48%), harga tidak konsisten (39%) dan pilihan terhad (32%). Situasi ini memberi isyarat jelas tentang keperluan memperkukuh profesionalisme dan kebolehpercayaan usahawan kecil tempatan agar terus terus relevan dan maju dalam pasaran moden.
Di sinilah NADI Keusahawanan tampil sebagai pemangkin perubahan. Dengan pengukuhan ilmu asas perniagaan melalui jaringan sokongan yang kuat, NADI bukan sekadar melahirkan usahawan baharu malah memperkasakan mereka untuk mencapai piawaian perkhidmatan lebih tinggi bagi memenuhi kehendak pembeli moden. Dengan bimbingan yang berterusan, NADI juga memberi ruang kepada usahawan komuniti untuk berkembang secara mampan agar bersedia menembusi pasaran yang lebih luas hingga ke peringkat antarabangsa.