Zawawi Abdullah

Juara Mengurut Asia Tenggara
Zawawi Abdullah, ahli NADI Bukit Anak Dara di Kijal, Terengganu, telah mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Southeast Asia Massage Championship 2025. Beliau turut memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage, mengatasi lebih 150 peserta dari 11 negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Kemboja dan Filipina.
Pertandingan berprestij ini telah berlangsung pada 24 – 26 Januari 2025 di Mövenpick Hotel & Convention Center KLIA, Sepang, KL, dianjurkan dengan kerjasama NEWMA European Massage Championship. Pertandingan ini dinilai oleh juri profesional antarabangsa termasuk dari Jerman, United Kingdom, Singapura dan Thailand yang merangkumi tujuh aspek utama termasuk teknik, kombinasi, aliran, inovasi dan interaksi pelanggan.
Terkini, Zawawi akan membawa nama Malaysia ke pentas global apabila beliau mewakili negara di European Massage Championship 2025 di Paris, Perancis pada bulan Mei ini.
Anak jati Kemaman ini yang telah berkecimpung dalam bidang urutan selama lebih 20 tahun, memulakan minat dalam urutan sejak berusia lapan tahun, mewarisi kemahiran tersebut daripada datuknya dan mula berkecimpung secara sepenuh masa sejak 2016. Beliau mengasah kemahirannya melalui pelbagai kursus profesional dan menimba pengalaman sebagai tukang urut sehingga berjaya membuka D’Bamboo Garden SPA pada tahun 2018. Antara kepakaran beliau adalah dalam urutan refleksologi, urutan minyak herba, AZ Signature Massage, urutan bertungku batu sungai dan urutan sukan.
Perjalanan Zawawi bersama NADI bermula apabila beliau menyertai program keusahawanan anjuran NADI. Melalui sesi bimbingan di Pusat NADI Bukit Anak Dara, Zawawi menerima latihan dalam pemasaran digital, pengurusan perniagaan dan strategi promosi. Ini membantunya mengembangkan capaian pelanggan dan menjenamakan perkhidmatannya secara profesional.
“Dalam dunia urutan, yang menilai bukanlah juri, tetapi pelanggan. Jika mereka selesa, maka kitalah pemenang sebenar.” – Zawawi Abdullah
Beliau kini turut aktif menganjurkan bengkel urutan dan motivasi, termasuk program Kelas Refleksologi Kaki dan Keusahawanan Urutan pada April ini. Program ini dianjurkan bersama NADI dan Pejabat Belia & Sukan Kemaman dengan yuran mampu milik demi memastikan ilmu disampaikan kepada lebih ramai anak tempatan.
Zawawi kini merupakan salah seorang Ikon Usahawan NADI yang bakal diketengahkan dalam pencarian 50 usahawan terbaik untuk ke Persidangan NADI Kebangsaan 2025. Beliau juga bercita-cita untuk menubuhkan sebuah akademi urutan di Terengganu bagi memastikan latihan berkualiti dalam bidang ini dapat diakses lebih ramai golongan muda dengan harga berpatutan, menangani cabaran yang dihadapinya ketika mencari pendidikan berkualiti dalam bidang tersebut. Kejayaan beliau membuktikan bahawa dengan kesungguhan, kemahiran dan sokongan komuniti seperti NADI, usahawan luar bandar juga mampu menembusi pentas antarabangsa.