e-Sukan: Dari Hobi ke Kerjaya

 e-Sukan: Dari Hobi ke Kerjaya

NADI e-Sukan Membentuk Generasi Celik Digital, Berkemahiran dan Seimbang

NADI e-Sukan diperkenalkan sebagai inisiatif latihan dan pembangunan sahsiah di bawah Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat, berfokuskan platform permainan digital yang semakin relevan hari ini. Di peringkat global, industri e-Sukan dianggarkan bernilai lebih RM7 bilion, dengan pertumbuhan pesat dalam sektor pekerjaan digital, kandungan kreatif, dan pembangunan komuniti.

Program ini bertujuan menjadikan e-Sukan sebagai laluan pendidikan alternatif, dengan empat modul utama:

  1. Kesedaran – Memahami industri e-Sukan dan potensinya sebagai kerjaya.
  2. Pensijilan – Latihan berstruktur dalam strategi permainan, pengurusan pasukan, dan keselamatan digital.
  3. Kesejahteraan Kendiri – Modul khas keseimbangan gaya hidup pemain: kesihatan mental, pemakanan, ergonomik & kecergasan.
  4. Pembangunan Kerjaya – Laluan ke pekerjaan dalam bidang pengurusan acara, penstriman kandungan, pemasaran, analisis data dan kejurulatihan.

Dengan penyertaan terbuka kepada semua ahli NADI dan dijalankan melalui kelas dalam talian, sesi kendiri melalui LMS serta peluang menyertai pertandingan peringkat NADI, negeri dan kebangsaan. Modul ini turut disokong oleh agensi profesional seperti Malaysia Esports Federation (MESF), Esports Integrated (ESI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta diselaraskan dengan standard industri.

Lebih menarik, NADI e-Sukan tidak hanya melatih pemain, tetapi juga memupuk pemikiran strategik, kerjasama berpasukan dan pematuhan etika digital — kemahiran penting untuk belia masa kini. Malah, program ini juga berperanan menjelaskan stigma terhadap permainan video dengan menyediakan maklumat, bimbingan dan pendidikan kepada ibu bapa serta guru mengenai manfaat struktur e-Sukan sebagai alat pembelajaran.

Mengapa e-Sukan Perlu Diberi Perhatian:

  • Pendidikan Alternatif – e-Sukan digunakan sebagai pemangkin kepada pembelajaran kendiri, literasi digital dan pembangunan sahsiah.
  • Peluang Kerjaya Baharu – Pendedahan kepada peluang kerjaya di dalam industri seperti pengacaraan langsung, pengurusan acara, kejurulatihan, pemasaran digital dan pembangunan permainan.
  • Kesejahteraan Holistik – NADI e-Sukan mendidik peserta untuk mengurus keseimbangan antara permainan dan kesihatan mental & fizikal melalui modul seperti REACH dan pemeriksaan kesihatan berkala.
  • Pembangunan Komuniti – Pertandingan dan sesi latihan membina jaringan sosial positif, menyatukan komuniti tempatan serta menjalin kerjasama antara generasi.

Impak Awal & Hala Tuju

Sejak pelaksanaannya pada 2024, NADI e-Sukan telah memperkenalkan lebih 100 siri latihan kesedaran, menyertai lebih 50 program kerjasama komuniti dan sekolah, serta menganjurkan kejohanan di seluruh negara. Untuk tahun 2025, program ini akan terus diperkukuh melalui penyertaan alumni NADI e-Sukan dalam kejohanan luar negara dan pelbagai program lanjutan.

Inisiatif ini diharap dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap e-Sukan — daripada aktiviti pasif kepada ruang pembangunan sahsiah, pendidikan strategik dan kerjaya digital. NADI e-Sukan bukan sahaja membentuk pemain hebat, tetapi juga membina generasi berkemahiran, berkeyakinan dan bersedia untuk masa depan digital.

Related post