TinyTechies Menyemai Kemahiran Digital Sejak Usia Muda

Melahirkan Generasi Cilik Celik Teknologi

TinyTechies merupakan program celik digital peringkat awal di bawah Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat NADI yang direka khas untuk memperkenalkan pengekodan, pengaturcaraan dan penyelesaian masalah kepada kanak-kanak dan remaja terutamanya dalam komuniti luar bandar. Program ini menggunakan modul Future Skills for All (FS4A) dan dilaksanakan dengan pendekatan interaktif yang menyeronokkan dan berasaskan aplikasi.

TinyTechies menyasarkan murid sekolah rendah dan menengah dengan kandungan yang disesuaikan mengikut peringkat umur dan tahap penguasaan. Untuk murid sekolah rendah, program ini memfokuskan kepada aktiviti berasaskan Micro:bit, robotik dan asas logik komputer — sejajar dengan kandungan DSKP KSSR Reka Bentuk dan Teknologi Tahun 6 (Standard 6.5 & 8.1). Bagi pelajar menengah pula, modul diperluaskan untuk merangkumi bahasa pengaturcaraan seperti HTML, Python, dan SQL — selari dengan kurikulum Asas Sains Komputer dan Sains Komputer KSSM.

Peserta turut menerima kit-kit tambahan seperti Micro:bit Starter Learning Kit, yang membolehkan mereka menjalankan aktiviti praktikal secara langsung dan mengukuhkan pembelajaran digital secara hands-on. Kit ini melengkapkan modul digital sedia ada dan menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menyeronokkan, berimpak, dan sesuai untuk pembelajaran kendiri atau dalam kumpulan.

Program ini dilaksanakan secara hibrid iaitu secara dalam talian dan bersemuka di pusat-pusat NADI di mana peserta dibimbing oleh fasilitator tempatan dan pensyarah dari institusi pengajian tinggi. TinyTechies juga menganjurkan bengkel latihan untuk mentor bagi memperluas kesan program di peringkat komuniti.

Dengan memperluas akses kemahiran digital kepada semua tanpa mengira latar belakang, TinyTechies mara dengan misi membasmi buta digital dan menyemai benih penyelesai masalah masa hadapan. Dengan sokongan fasilitator tempatan dan kolaborasi strategik, TinyTechies terus menjadi pencetus perubahan dalam landskap pendidikan digital Malaysia — satu komuniti NADI pada satu masa.

Related post