Jati Madani: Platform Komunikasi Komuniti Madani
Kini dibuka untuk semua ahli Komuniti MADANI
CIRI-CIRI sebuah negara maju adalah jaringan sistem penyampaian berkesan dan efisien. Sejajar dengan perkembangan itu, kerajaan Madani meletakkan kesungguhan tinggi menerusi Jaringan Transformasi Madani (Jati Madani) yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia memanfaatkan maklumat mengenai Inisiatif Kerajaan terkini dan tepat.
Inisiatif Kerajaan yang merupakan salah satu daripada Lima Teras Utama di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), selain keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri dan kesedaran berperanan besar membantu rakyat mengikut kemampuan dan keperluan semasa.
Menerusi Jati Madani, kerajaan akan memastikan tiada keciciran maklumat berlaku dalam kalangan rakyat. Atas faktor itu, kepentingan Jati Madani yang digerakkan menerusi satu aplikasi platform komunikasi antara Komuniti MADANI dan NADI bagi memudahkan kedua-dua pihak saling berhubung antara satu sama lain meliputi seluruh ahli Komuniti MADANI dan lokasi NADI di seluruh negara.
Ianya merupakan satu kerjasama strategik bagi meluaskan peranan NADI bukan sekadar berfungsi sebagai pusat sebaran maklumat, malahan terlibat dalam membantu komuniti setempat untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi, penjagaan kesihatan, pembelajaran secara dalam talian serta kemahiran.
Buat permulaan, aplikasi ini hanya dikhususkan kepada ahli Komuniti MADANI dan NADI serta dipantau oleh pihak Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Penerangan (JaPen).
Secara umumnya, Komuniti MADANI adalah agen penggerak bagi sesebuah komuniti bagi mempromosikan kewujudan pusat NADI yang dapat membantu komuniti setempat sesuai dengan perkhidmatan dan program yang dirancang.
Komuniti MADANI juga boleh merancang program bersesuaian dan memberi manfaat kepada komuniti setempat meliputi pelbagai NGO, agensi kerajaan mahupun swasta untuk diadakan di NADI. Melalui usaha SKMM, setiap NADI telah disediakan dengan dua orang petugas, (kecuali Mini NADI menempatkan seorang petugas) terlatih, akses internet yang pantas sehingga 800mbps, komputer mahupun laptop, bilik latihan serta perkhidmatan sokongan lain seperti cetakan.
Melalui dua petugas yang sentiasa memastikan NADI beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang (Sabah dan Sarawak – 8 pagi hingga 5 petang) KECUALI pada cuti umum, komuniti setempat dapat mengikuti segala program yang diatur dan dirancang terutama Program Pintar secara PERCUMA.
Rakyat digalakkan menggunakan aplikasi Jati Madani kerana mempunyai pelbagai kelebihan. Selain fungsinya sebagai medium untuk bertukar-tukar pendapat serta berkongsi aktiviti komuniti setempat merangkumi penglibatan Komuniti MADANI dan NADI, ianya juga memaparkan inisiatif Kerajaan MADANI samada bagi tujuan semakan atau permohonan baru yang ditawarkan oleh Kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Ahli Komuniti MADANI juga dapat membantu melaporkan kepada pihak Majlis Agama Islam negeri masing-masing sekiranya terdapat golongan ASNAF dari kalangan komuniti setempat yang dikenalpasti wajar mendapat bantuan daripada pihak institusi zakat.
Melalui JATI MADANI, ahli Komuniti MADANI dapat menerangkan program pintar kepada semua lapisan masyarakat. Tidak terkecuali kepada mereka yang ingin melaksanakan pemeriksaan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah serta bacaan gula dalam darah dapat dilakukan secara percuma di NADI.
Di samping itu, rakyat berpeluang berhubung dengan pemimpin kerajaan secara terus dengan Komuniti MADANI bagi mendengar sendiri keluhan serta masalah yang dihadapi mereka. Ini secara langsung mendekatkan dan dapat mengeratkan hubungan antara komuniti dan pemimpin.