Menangani Stigma Kesihatan Mental

 Menangani Stigma Kesihatan Mental

Meningkatkan Kesedaran dan Sokongan untuk Kesejahteraan Komuniti

Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu dan masyarakat. Namun begitu, stigma dan kurangnya kesedaran terus menjadi halangan utama dalam menangani isu ini secara efektif. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan peningkatan yang membimbangkan: satu daripada enam atau 16.5% kanak-kanak dan remaja berumur 5 hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, manakala satu juta rakyat Malaysia atau 4.6% daripada populasi berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan — kedua-duanya meningkat dua kali ganda sejak 2019.

Menyedari keperluan yang mendesak, NADI Kesejahteraan Kendiri melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma dan menyediakan akses kepada sokongan komuniti. Antaranya termasuk penganjuran webinar yang diikuti sesi soal jawab secara langsung bersama pakar kesihatan seperti “Sayangi Diri, Ubah Persepsi” bersama Dr. Nur Adilah Sulaiman, Pakar Psikiatri Hospital Bintulu, yang membincangkan langkah menjaga kesihatan mental dan menangani persepsi negatif terhadapnya.

Terkini, siri “Back to School” pula memberi fokus kepada kesihatan mental dalam kalangan pelajar, antaranya menerusi topik “Kemurungan di Kalangan Pelajar: Kenal, Cegah & Rawat”, yang memberi panduan kepada ibu bapa dan guru dalam mengenal pasti tanda awal kemurungan dan kaedah sokongan yang berkesan.

Salah satu aspek penting turut diketengahkan adalah kepelbagaian neurologi (neurodiversity) seperti ADHD, autisme dan disleksia. Walaupun bukan tergolong sebagai gangguan kesihatan mental secara langsung, pelajar neurodivergen sering mengalami tekanan emosi dan masalah harga diri akibat salah faham dan kurangnya sokongan dari masyarakat. Melalui webinar “Kepelbagaian Neuro dalam Kalangan Pelajar Sekolah” oleh Dr. Lau Chiew Yee, Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Klinik Pakar USIM & Hospital Ampang, NADI Kesejahteraan Kendiri membantu komuniti memahami bagaimana untuk menyokong pelajar ini secara inklusif — sekaligus memperkukuh kesejahteraan emosi mereka.

Inisiatif ini turut diperkasa melalui kempen di media sosial dan sesi advokasi dalam program seperti Wellbeing FIESTA, yang menyediakan saringan awal dan bahan pendidikan kesihatan mental secara langsung kepada komuniti.

Dengan pendekatan menyeluruh ini, NADI Kesejahteraan Kendiri berusaha membentuk masyarakat yang lebih peka, inklusif dan berdaya tahan serta memperkukuh peranan komuniti dalam menangani stigma dan menyokong mereka yang memerlukan bantuan kesihatan mental.​

Related post