Peranan NADI Dalam Revolusi Kesihatan Komuniti

 Peranan NADI Dalam Revolusi Kesihatan Komuniti

Menangani Penyakit Empat Serangkai dalam Kalangan Komuniti

Penyakit tidak berjangkit (NCD) terus menjadi krisis kesihatan utama di Malaysia — khususnya empat yang paling membimbangkan: kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti. Laporan terkini daripada NHMS 2023 menunjukkan angka yang membimbangkan:

  • 1 daripada 6 rakyat dewasa menghidap diabetes (15.6%)
  • 1 daripada 3 menghidap darah tinggi (29.2%)
  • 1 daripada 3 mempunyai tahap kolesterol tinggi (33.3%)
  • 1 daripada 5 adalah obes (21.3%)
  • Hampir 2.3 juta rakyat dewasa menghidap kombinasi tiga penyakit tidak berjangkit
  • Lebih setengah juta atau 2.5% rakyat dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit sekaligus!

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu tetapi juga memberi tekanan kepada ekonomi negara. Dianggarkan, kesan akibat punca penyakit ini menelan belanja lebih RM100 bilion setahun, termasuk kos rawatan, kehilangan produktiviti dan kesan jangka panjang terhadap tenaga kerja — bersamaan lebih 7% daripada KDNK negara.

Kajian juga mendapati bahawa isi rumah B40 lebih cenderung menghidap lebih daripada satu NCD secara serentak, namun mereka juga menghadapi cabaran besar dalam mendapatkan rawatan awal atas faktor kekangan kewangan, kurangnya akses kepada kemudahan kesihatan dan kesedaran yang rendah. Akibatnya, ramai hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah pada tahap serius, sekaligus meningkatkan kos rawatan dan beban kepada keluarga.

NADI Kesihatan Kendiri: Komitmen kepada Kesihatan Komuniti

Sebagai sebahagian daripada Teras NADI, program NADI Kesejahteraan Kendiri diwujudkan untuk memperluas akses kepada pendidikan kesihatan, saringan kendiri dan perkhidmatan perubatan terus ke komuniti. NADI menekankan konsep penjagaan kesihatan kendiri di mana setiap individu dididik untuk bertanggungjawab bagi kesihatan diri sendiri dengan mewujudkan perkhidmatan saringan kesihatan yang lebih mesra rakyat dan mudah diakses.

TIGA FOKUS UTAMA

1. Kesedaran Kesihatan

Komuniti dididik melalui ceramah kesihatan, video informatif, podcast dan sesi dalam talian yang dikendalikan oleh pakar kesihatan bertauliah. Pelbagai topik diketengahkan dari pengurusan penyakit kronik, kesihatan mental hinggalah penggayaan hidup sihat. Teras ini juga menyediakan kelas senaman percuma oleh pengajar bertauliah secara fizikal dan dalam talian seperti Zumba dan Yoga untuk gaya hidup yang lebih aktif.

2. Pengurusan dan Pencegahan Kesihatan Kendiri

Setiap pusat NADI dilengkapi peralatan saringan kesihatan kendiri yang membolehkan orang ramai menyemak tekanan darah, paras gula, kolesterol dan BMI di pusat NADI terdekat. Inisiatif seperti Wellbeing FIESTA juga dijalankan secara berkala, menawarkan pemeriksaan percuma, ceramah motivasi dan aktiviti interaktif bersama rakan strategik seperti Institut Jantung Negara (IJN), AstraZeneca, Academy of Medicine of Malaysia (AMM) dan ROSE Foundation

3. Perkhidmatan Perubatan & Telekesihatan

Melalui inisiatif REACH (Reaching Equitable Access to Community Healthcare) yang kini sedang berjalan, NADI membawa perkhidmatan kesihatan terus ke komuniti melalui klinik dan makmal bergerak serta lawatan pasukan kesihatan bertauliah ke pusat NADI di seluruh negara.

Inisiatif HATI (Healthcare Access through Technology Innovation) pula bakal dilancarkan tidak lama lagi bagi memanfaatkan teknologi untuk memperluas capaian perkhidmatan kesihatan. Ini termasuklah sistem penempahan temujanji doktor, telekonsultasi dan surat rujukan digital. Malah, pesakit juga boleh ditemani ahli keluarga semasa sesi maya — sesuatu yang jarang ditawarkan di klinik awam biasa.

Impak yang Semakin Dirasai

Sehingga kini, NADI telah menjayakan lebih 56 program advokasi kesihatan dan saringan dan telah menyaksikan peningkatan penyertaan komuniti dalam pemeriksaan kendiri, program advokasi serta bengkel dan webinar dalam talian.

Dengan usaha berterusan, NADI Kesejahteraan Kendiri bukan sekadar memberi perkhidmatan secara berkala malah mengubah cara rakyat menjaga kesihatan mereka. Melalui pencegahan dan pembinaan pengetahuan yang dapat mempercepatkan tindakan, NADI ingin membawa revolusi kesihatan komuniti ini satu NADI pada satu masa.

Related post