
3D render of a digital landscape of connecting lines and dots. Network connections technology background
Rangkaian 5G Malaysia Cecah 82.4 % Suku Ke-4 2024
Malaysia Antara Negara Terpantas Di Dunia Kembang Akses Komunikasi
MALAYSIA telah mengorak langkah berani dalam melancarkan rangkaian 5G secara berterusan sehingga meletakkan antara negara terpantas di dunia dalam mengembangkan akses komunikasi.
Usaha reformasi realiti ini terbukti menerusi capaian liputan rangkaian 5G di negara ini apabila telah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024.
Capaian itu sekaligus menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam memperluas akses komunikasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keyakinan itu dilontarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang berpandangan bahawa kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat juga mencatat peningkatan positif.
Pengguna rangkaian 5G di seluruh negara turut meningkat kepada 53.35 peratus pada 2024 berbanding 24.6 peratus tahun sebelumnya. Sementara kadar liputan rangkaian 4G di Johor telah mencapai 99.9 peratus sehingga 31 Disember tahun 2024.
Pelancaran berterusan kerajaan Madani menerusi Kementerian Komunikasi bukan sahaja tertumpu pada penyampaian pantas, tetapi keazaman kuat melaksanakan rangkaian 5G mencakupi ketersediaan, kemampuan kos, prestasi, pengalaman pelanggan dan keselamatan.
Ini termasuk kedua-dua spektrum jalur rendah dan jalur pertengahan telah disediakan bagi menyampaikan pengalaman pengguna bertaraf dunia melalui infrastruktur untuk mendaya saing inovasi di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Kesungguhan negara sangat jelas sejak melancarkan rangkaian 5G secara cekap ditonjolkan, termasuk peruntukan spekstrum yang optimum. Langkah sedemikian bukan sekadar menterjemahkan potensi yang merealisasikan manfaat reformasi digital lebih pantas dan efektif, malahan kesiapsagaan mendepani pasaran baru yang terkait dengan perkembangan pesat 5G.
Satu kajian baharu meliputi 15 negara, diterajui oleh Ericsson dan dijalankan oleh firma perunding pengurusan Analysys Mason, meramalkan Malaysia berpotensi menjadi antara negara menerima manfaat terbesar daripada penggunaan 5G.
Rangsangan positif terhadap ekonomi dalam kajian itu adalah berdasarkan kes penggunaan 5G merentasi empat sektor, khususnya industri, logistik, luar bandar dan perkhidmatan awam. Pada masa sama, ia merangkumi industri vertikal seperti tenaga dan utiliti, pelabuhan dan penjagaan kesihatan.
Tidak terkecuali selaku pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) (KLIA2), kini telah mengorak langkah menerusi pemasangan rangkaian 5G sebagai bukti pencapaian yang progresif ketika mana Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, menunjukkan komitmen negara untuk meningkatkan infrastruktur digital di hab pengangkutan utama.
Sudah tentu pemasangan 5G di KLIA dan KLIA2 membolehkan pengguna MAHB menikmati sambungan lebih pantas dan lebih dipercayai di bangunan awam dan komersial, memastikan pengalaman digital yang lancar.
Dalam Belanjawan 2025 sewaktu dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi fokus bahawa peluncuran rangkaian kedua 5G sebagai usaha mempertingkatkan daya saing bidang teknologi maklumat.
Di samping itu, kerajaan Madani akan terus menggalakkan penggunaan 5G terutama dalam memacu kes-kes penggunaan 5G oleh industri menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Menerusi Belanjawan 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi dana RM20 juta bersetuju untuk menambah baik capaian internet di universiti awam, sekolah, kem-kem tentera dan institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Seiring pelaksanaan reformasi rangkaian 5G ini secara tuntas, di bawah Belanjawan 2025 memperlihatkan peruntukan RM10 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), ia akan menyelaraskan dasar AI merentasi pelbagai sektor.
Seiring usaha itu, Geran Padanan Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Madani dan Geran Digital Penjaja Madani berjumlah RM50 juta di bawah Bank Simpanan Nasional direka untuk memperkasa usahawan tempatan dengan menyediakan alat digital yang diperlukan.
Begitu juga, peruntukan RM1 bilion oleh Putrajaya di bawah Dana Pelaburan Strategik dapat menyokong perniagaan digital bernilai tinggi dan usahawan teknologi tempatan.
Portal InvestMalaysia akan turut menyokong matlamat ini sebagai platform sehenti untuk menarik pelabur. Digabungkan dengan pelaburan bernilai USD16.9 bilion yang dirancang hingga 2038 daripada syarikat gergasi seperti Amazon, Microsoft, Google, dan Oracle, inisiatif ini akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi global.
Bagi menyediakan tenaga kerja untuk ekonomi yang dipacu oleh AI, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM7.5 bilion bagi program TVET, dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan seperti TNB dan Sime Darby bagi memenuhi keperluan automasi dan peralihan tenaga.
Ini memberi tumpuan kepada pengembangan kemahiran digital bagi melengkapkan tenaga kerja dengan kompetensi bersedia untuk AI, dalam usaha memastikan ekonomi mampu bertahan pada masa depan.
Peruntukan tambahan RM100 juta di bawah Dana Pembangunan Kemahiran menyasarkan sektor seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta EV, aeroangkasa dan AI untuk mempersiapkan lebih 20,000 pelatih bagi peranan teknikal dalam tugas berkaitan AI.
Sebagai persiapan sebuah negara maju, Malaysia bukan hanya menyediakan kesalinghubungan 5G yang pesat membangun, malahan turut menekankan aspirasinya dalam membina negara digital inklusif dan melaksanakan inisiatif pendigitalan yang tuntas untuk memperkasa komuniti pintar Madani dengan kemahiran dan set minda celik digital pada masa kini dan masa depan.