Pendidikan Digital Rapatkan Jurang Pendidikan Luar Bandar

NADI-Nurture DiLea: Memperkasakan Minda, Membentuk Masa Depan

Di sebalik cabaran pendidikan pasca pandemik dan jurang digital yang semakin ketara, program NADI-Nurture DILEA muncul sebagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi sokongan akademik kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5, terutamanya di kawasan luar bandar.

Dilaksanakan di bawah Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat NADI, program ini direka bagi memastikan pelajar tidak tercicir daripada akses pendidikan berkualiti. Ia menyokong pembelajaran yang lebih inklusif dan mampan serta mempersiap pelajar menghadapi dunia digital melalui penggunaan teknologi, pendekatan visual dan interaktif serta bimbingan akademik yang berstruktur.

Komponen utama NADI-Nurture DiLea

  • Kelas Secara Langsung (Live Classes): Dikendalikan oleh guru berpengalaman dan dijalankan mengikut zon, meliputi subjek teras seperti Matematik, Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  • Video Ulangkaji: Akses fleksibel kepada rakaman kelas untuk ulang kaji kendiri.
  • Sesi Kemahiran Bahasa Inggeris: Memperkasa penguasaan bahasa dalam pertuturan, penulisan dan pemahaman bagi membina keyakinan serta kemahiran yang penting untuk kerjaya masa depan.
  • Bimbingan & Penilaian: Pemantauan berkala prestasi pelajar serta bimbingan strategi pembelajaran dan hala tuju akademik.
  • Program Khas: Ceramah motivasi, bengkel kemahiran dan sesi pendedahan kerjaya dengan kerjasama rakan strategik seperti Baitulmumtaz, Osman Affan SmartStudy & Consultant dan Akademi Ampac bagi memperkaya kandungan dan pengalaman pembelajaran.

Setakat 8 Mac 2025, seramai 3,291 pelajar telah menyertai program ini. Pengajaran dikendalikan oleh guru utama NADI-Nurture DILEA serta guru jemputan, dengan pemantauan berterusan bagi memastikan sesi berjalan lancar dan berimpak.

Dengan sokongan infrastruktur digital di Pusat NADI serta kandungan pengajaran yang relevan dan mesra pelajar, NADI-Nurture DILEA terbukti sebagai platform penting dalam menyamaratakan peluang pendidikan menengah — satu pelaburan jangka panjang dalam membina generasi berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.

Related post