Lebih 5,000 Usahawan Tempatan Memperkasakan Keusahawanan Komuniti Setempat Menerusi “Kick-Off Bazar Raya NADI”

Sebanyak 1,099 NADI diadakan serentak di seluruh negara
KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 usahawan tempatan yang pernah menggunakan perkhidmatan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diketengahkan bakat dan kemahiran mereka menghasilkan produk dan pemasaran perniagaan menerusi “Kick-Off Bazar Raya NADI” di seluruh negara, 22 Mac 2025 lalu.
Inisiatif murni di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ini dilaksanakan secara serentak di 1,099 NADI di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata “Kick-Off Bazar Raya NADI” mampu membantu usaha kerajaan untuk memperkasakan aspek keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini diadakan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dan kita tonjolkan lebih 5,000 usahawan yang telah menggunakan perkhidmatan NADI bagi meningkatkan kemahiran mereka sama ada untuk mengetahui cara menghasilkan produk seperti bakeri atau mengikuti program di TikTok Shop.
Jadi kesemua usahawan ini kita jemput untuk sertai “Kick-Off Bazar Raya NADI” bagi meningkatkan pendapatan di komuniti masing-masing,”
YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi
Hadir sama Pengarah SKMM Wilayah Persekutuan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Ketua Pejabat NADI SKMM, Dr Mohd Arif Adenan.
Walaupun “Kick-Off Bazar Raya NADI” dianjurkan hanya sehari, Datuk Fahmi berkata projek perintis berkenaan akan dinilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan pada perayaan lain seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Lebih menarik, “Kick-Off Bazar Raya NADI” turut membawa Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, jualan ayam PELADANG NAFAS pada harga istimewa serta Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ini secara langsung dapat memberi bantuan kepada komuniti setempat mengikut keupayaan dan pendapatan bagi membeli barangan keperluan terutama menjelang Aidilfitri pada harga Jualan Rahmah yang jauh lebih murah.