NADI MAHIR: MEMBUKA PELUANG, MENGUBAH KEHIDUPAN

Latihan Kemahiran TVET Memperkasa Komuniti
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan lebih daripada 544,000 penganggur dengan kadar pengangguran 3.1%. Daripada jumlah ini, lebih 400,000 belia berumur 15–30 tahun direkodkan tidak bekerja tetapi sedang aktif mencari peluang pekerjaan (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2025). Di kawasan luar bandar, akses kepada latihan teknikal yang berkualiti masih menjadi cabaran — dan di sinilah NADI MAHIR memainkan peranan penting.
Sebagai salah satu program utama di bawah Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat, NADI MAHIR dibangunkan untuk membina kemahiran praktikal, meningkatkan kebolehpasaran dan menggerakkan ekonomi komuniti. Program ini menawarkan latihan percuma dan mudah diakses oleh ahli NADI dewasa berumur 18 tahun dan ke atas, bertujuan untuk memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan memangkin pertumbuhan ekonomi setempat lebih inklusif.
Melalui kepelbagaian program, NADI MAHIR memberi ruang kepada peserta untuk mengenal pasti minat, bakat dan potensi diri yang mungkin tidak disangka sebelum ini. Peserta turut digalakkan untuk menyumbang kembali kepada komuniti melalui perkhidmatan berasaskan kemahiran yang boleh menjana pendapatan sampingan atau memulakan perniagaan kecil. Bagi yang ingin terus maju, NADI MAHIR juga menyediakan laluan ke peringkat kemahiran lebih tinggi, termasuk peluang bertemu pakar industri dan menyambung latihan di institusi latihan kemahiran diiktiraf.
Menerusi slogan “Now Everyone Can Learn”, program ini menawarkan latihan bersijil secara percuma oleh tenaga pengajar bertauliah melalui gabungan pembelajaran dalam talian dan latihan praktikal di pusat NADI, merangkumi tiga jenis program dan lima kemahiran utama:
Jenis Program
MAHIR SKILL LEARNING COURSES (SLC)
- Membina keupayaan asas melalui pembelajaran pengetahuan dan kemahiran asas
- Tempoh: 3 hingga 4 bulan; 2 pengambilan setahun; kelas mingguan
MAHIR SPECIFIC LEARNING MODULES (SLM)
- Memantapkan pengetahuan dan kemahiran melalui modul-modul khusus.
- Tempoh: 1 hingga 2 bulan
MAHIR SHORT LEARNING SERIES (SLS)
- Kelas pengetahuan umum dalam tempoh yang singkat secara dalam talian, terbuka bagi ahli NADI dan khalayak umum.
- Tempoh: 1 hingga 2 jam
Kemahiran
Mahir Masak – Teknik asas masakan yang menumpukan kepada gaya hidup kafe
Mahir Jahit – Asas rekaan dan jahitan fesyen menggunakan mesin jahit
Mahir Foto – Fotografi dan videografi menggunakan telefon pintar serta penciptaan kandungan digital untuk media sosial
Mahir Baiki Gajet – Baik pulih telefon dan komputer riba
Mahir Pertanian Pintar – Teknologi fertigasi pintar dan automasi pertanian
Program ini turut disokong oleh rakan TVET strategik seperti GIATMARA, PERHEBAT serta pengajar bertauliah industri. Peserta bukan sahaja menerima bimbingan profesional tetapi turut dilengkapi dengan peralatan latihan, modul khas dan peluang menyertai pertandingan MAHIR peringkat negeri dan kebangsaan.
Impak dan Aspirasi
Setakat Mac 2025, lebih 7,600 peserta telah menyertai program ini, dengan sasaran seramai 10,000 peserta menjelang hujung tahun ini. Kejayaan awal sudah mula dirasai di mana ada peserta Mahir Masak yang kini menjalankan perniagaan makanan dari rumah dan peserta Mahir Foto yang menjana pendapatan dengan menawarkan servis fotografi bagi acara komuniti.
Lebih penting, NADI MAHIR memberikan hala tuju dan harapan kepada ramai peserta yang mungkin sebelum ini tidak berpeluang menyambung pengajian atau mengakses latihan formal. Melalui kursus lengkap, mesra komuniti dan berimpak tinggi, ramai mula melihat potensi diri mereka — dan buat pertama kali, percaya bahawa mereka juga mampu berjaya.
Program ini bukan sekadar tentang kemahiran. Ia adalah tentang maruah, aspirasi dan perubahan. Ia menyatukan teknologi, pembelajaran dan komuniti di bawah satu bumbung, satu NADI, untuk satu masa depan lebih inklusif dan bermakna.